Home » MALAYSIA » PIALA FA » Final Piala FA : FAM Perlu Sedia Kemudahan & Keselesaan Setimpal Harga Mahal

Final Piala FA : FAM Perlu Sedia Kemudahan & Keselesaan Setimpal Harga Mahal

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai penganjur perlawanan akhir Piala FA, perlu memberi perhatian serius terhadap kemudahan dan keselesaan penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil – setimpal dengan harga mahal RM40 yang dibayar penyokong kedua-dua pasukan.

Kelab Peminat Bolasepak Rasmi Bolasepak Kelantan (KPBSK) menerusi Pengerusinya, Mohd Yahya Jamada Ali menjelaskan penyokong The Red Warriors yang menjadi pencetus kemeriahan bolasepak Malaysia tidak akan menjadikan harga tiket mahal sebagai alasan untuk tidak hadir ke stadium, namun berpendapat mereka berhak untuk mendapatkan kepuasan yang setimpal dengan harga yang dibayar, dan meminta FAM sebagai badan pentadbir bolasepak negara yang ulung dan cekap, bertindak dengan lebih proaktif dan mengambil peduli rintihan penyokong setia.

 

Langkah ini juga menurut KPBSK agar FAM tidak dituduh dan difitnah mengambil kesempatan dan cuma mengaut keuntungan terutama apabila melibatkan pasukan Kelantan.

Menerusi emel yang dihantar kepada FAM dan rakan media lain, KPBSK mahu beberapa perkara seperti berikut diberi perhatian :

 

i) Tiket Perlawanan

 

Pihak FAM hendaklah memastikan bilangan tiket yang dikeluarkan dan dijual adalah mengikut kapasti tempat duduk sesebuah stadium. Ini bagi mengelakkan berlakunya kesesakan melampau dan ketidakselesaan dikalangan penonton. Perkara ini berlaku pada perlawanan akhir Piala F.A. tahun lepas dimana pemegang tiket ‘grandstand’ tidak dapat duduk di tempat sepatutnya kerana berlaku pertindihan. Kebanjiran penonton sehingga terpaksa duduk di atas tangga dan di tepi laluan hendaklah dielakkan kerana sebarang kejadian kecemasan akan memburukan lagi keadaan. Pihak FAM juga harus proaktif dalam memastikan tiada tiket palsu dijual yang akan menyumbang kepada perkara ini. Selain itu kegiatan ulat tiket di perkarangan stadium hendaklah dipantau dan diambil tindakan penguatkuasaan dengan segera. Selain itu, tempoh masa jualan tiket yang secukupnya dan memperbanyakkan kaunter jualan dapat memberikan keselesaan kepada penonton semasa hendak membeli tiket.

 ii) Kawalan Keselamatan

Berdasarkan pengalaman, perlawanan akhir sentiasa berjaya menarik minat penonton untuk ke Stadium. Walaupun pertembungan kali ini melibatkan sebuah pasukan bertaraf kelab adalah diharapkan aspek kawalan keselamatan tidak diambil ringan. Penempatan pegawai keselamatan harus dipertingkatkan di dalam dan di luar stadium. Adalah dicadangkan agar pegawai keselamatan di tempatkan di tempat duduk penonton atau di tangga-tangga agar dapat mengambil tindakan segera jika berlaku provokasi atau perkara yang tidak diduga. Penempatan pegawai keselamatan di atas trek adalah satu pembaziran. Sila pastikan mereka ini bertugas mengawal keselamatan dan bukannya menonton perlawanan.

iii) Kemudahan Stadium

 Pihak penganjur (FAM) hendaklah memastikan semua kemudahan stadium berada dalam keadaan baik bukan sahaja untuk kegunaan VIP, petugas media, pemain dan pengurusan pasukan bertanding tetapi juga untuk kegunaan puluhan ribu penonton yang hadir. Harus diingat penonton berhak menikmati kemudahan yang sempurna kerana mereka membayar tiket untuk menyaksikan perlawanan ini. Berdasarkan pengalaman, keadaan tandas di Stadium Nasional  Bukit Jalil amat menyedihkan kerana terdapat sebilangan besar tandas yang rosak dan tidak boleh digunakan. Terdapat kebocoran paip menyebabkan air bertakung dan membahayakan penonton terutama kanak-kanak dan wanita. Selain itu kemudahan ruang solat dan tempat mengambil wuduk juga terhad dan tidak selesa. Memandangkan majoriti penonton adalah beragama Islam adalah wajar perkara ini dipertingkatkan. Selain itu kerjasama daripada  penyedia kemudahan telekomunikasi juga amat diharapkan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kerana kebanjiran penonton menyebabkan kesesakan talian dan menjejaskan perhubungan. Tempat letak kereta dan bas juga haruslah dikenalpasti  dan jika boleh sebarang penganjuran program di tempat tersebut hendaklah dielakkan   kerana akan menyebabkan kesesakan luar biasa.

 iv) Pintu Masuk dan Keluar

 Adalah didapati pintu masuk dan keluar di Stadium Nasional Bukit Jalil mahupun Stadium Shah Alam adalah mencukupi berdasarkan kapasiti penonton. Namun begitu, seringkali pintu masuk dan keluar ini tidak digunakan kesemuanya menyebabkan berlaku kesesakan semasa masuk dan keluar. Terdapat pintu yang dikunci dan tidak dibuka sepenuhya terutama ketika penonton bersesak –sesak hendak keluar selepas perlawanan. Keadaan amat merimaskan terutamanya penonton kecil dan wanita .Selain itu adalah dicadangkan supaya pintu masuk dibuka lebih awal daripada biasa dan gerai –gerai jualan makanan dan minimun disediakan di dalam perkarangan stadium. Kurangkan bilangan gerai jualan diluar stadium terutama di laluan pejalan kaki.

sumber: SuaraSukan1Mas.blogspot.com.

About Faizal Fredley

CEO & Founder Blog FaizalFredley - Best Travel Blog 2013 & 2014 dan Blog MohdFaizal, Dimiliki sepenuhnya oleh Faizal Fredley Network

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>