TOMAN BETIS BAHAM GEWANG
Persoalan itu terbit memandangkan sebelum ini banyak cerita dan keluhan kaki pancing mengatakan seri Tasik Kenyir sudah hilang kerana tiada lagi toman sudi membaham gewang, kilat atau umpan anak keli. Ada yang memberitahu, 20 anak keli yang dibawa dilepaskan begitu saja ke tasik kerana lubuk yang disinggahi tiada lagi toman.
Hari pertama hampir dianggap malang. Tiada seorang pun menaikkan sang toman sekali gus hadiah lumayan yang ditawarkan tiada siapa yang memenanginya. Namun tanpa diduga, Nasharuddin Abdul Rahman dari Team Joran, memecah kesunyian apabila menjerit kegembiraan ketika sesetengah ahli ekspedisi lain khusyuk solat Maghrib.
Selepas bertarung hampir 10 minit dan dengan bantuan Shahrul Sahat, seekor toman seberat 7 kilogram didaratkan sekali gus tangkapan tunggal hari pertama.
Pada sebelah malam, Jefri (Utusan Malaysia), Fadhil (Nestle/Maggi), Salim (Harian Metro), Rafiz, Manap dan Kushairi (Berita Harian), Shahrul dan Nasharuddin begitu asyik menunggu umpan tapa dijamah baung akar yang sesetengahnya sebesar lengan. Bau busuk umpan itu nyata memberahikan baung, apabila hampir 20 ekor didaratkan dalam tempoh sejam.
Hanafiah dari Asia Network Channel sibuk memasang umpan anak ikan dan tali itu ditambat pada tunggul dengan harapan ada toman sudi menjamah.
Keesokannya, Hanafiah melihat tali tajur yang dipasang pelampung itu tenggelam timbul menandakan ada ikan besar mengena mata kail. Selepas diperiksa, seekor belida seberat 5 kilogram masih berhempas pulas mahu melepaskan diri.
Sementara itu, Abu Bakar PKNS sibuk melontar gewang jenis Strike Pro warna hijau putih di tebing tasik. Tiba-tiba umpan tiruan itu diterkam seekor anak toman. Melihatnya kecil sebesar lengan budak, beliau melepaskannya semula ke air.
Beliau kemudian menghidup enjin sangkut untuk mencari lubuk kira-kira 2 kilometer dari rumah bot berlabuh. Selepas beberapa kali mengumpan gewang Strike Pro, ia disambar seekor toman sebesar betis orang dewasa. Selepas melayan hampir lima minit, toman berkenaan menyerah kalah.
Toman ditimbang dan beratnya kira-kira 5 kilogram. Ia menduduki tangga kedua selepas toman milik Nasharuddin. Begitu Jefri, Nasir dan Adlizam turut tidak ketinggalan menunjukkan tangkapan masing-masing, sekadar memenuhi senarai pemenang. Semua tangkapan itu kemudian dilepaskan sejajar amalan ‘Tangkap dan Lepas’. Tepat jam 10 pagi, rumah bot bergerak pulang ke pangkalan sambil memberi satu jawapan bahawa Tasik Kenyir masih ada toman.